Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma buat masa ini itu turut membolehkan pengguna menyemak status syarikat sekali gus menggalakkan keyakinan terhadap produk keluaran peniaga dalam talian.
“Aplikasi melalui telefon pintar ini lebih memudahkan pengguna. Saya difahamkan kad sim berdaftar mencecah 40 juta, satu jumlah yang tinggi dan telefon pintar mencapai sembilan juta pengguna maka lebih mudah untuk peniaga dan pengguna.
“Ada peningkatan pendaftaran melalui aplikasi ini. Pendaftaran ini penting kerana rantaian pembekalan akan bertanyakan tentang status perniagaan yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) SSM di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga Pengerusi SSM, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nor Nekman Jaimon.
Menurut Hamzah, kegagal­an mendaftar perniagaan boleh me­nyebabkan peniaga dalam ta­lian dikenakan tindakan penalti RM50,000 dan RM100,000 untuk kesalahan kedua melalui Peraturan Pengguna (Urus Niaga Elektronik) 2012 selain Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
“Kita mahu situasi menang-me­nang, jangan kerana penguatkuasaan kita menyulitkan mereka yang berniaga cuma bila sampai masanya kita mahu tentukan tiada penipuan berlaku. Itu yang paling mustahak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan syarikat yang belum membayar kompaun kerana kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 agar mengambil kesempatan diskaun sehingga Disember ini dan tidak menunggu sehingga saat akhir.
Ujar beliau, pihaknya menerima banyak aduan menyalahkan SSM pada hari akhir diskaun 80 peratus yang berakhir 30 September lalu sedangkan tiada rungutan sebelum tarikh tersebut.
“Kita masih ada diskaun 70 peratus untuk Oktober, 60 peratus pada November dan 50 peratus bagi Di­sember. Januari 2016 tiada diskaun. Jangan datang saat akhir dan buat pelbagai aduan,” tambahnya.