Selasa, 8 November 2016

Kiraan harga Petrol /Diesel

Cara Pengiraan Harga Petrol

Sebelum ini saya ada menulis cara pengiraan harga petrol dalam Bahasa Inggeris di sini.

Di atas permintaan ramai, saya akan menulis pengiraan harga petrol mengikut mekanisma apungan terkawal yang ditetapkan kerajaan dalam Bahasa Melayu supaya lebih ramai dapat mengetahui dan memahami bagaimana kerajaan menetapkan harga petrol setiap bulan.

Selepas kejatuhan minyak mendadak pada pertengahan 2014 dari sekitar $110 setiap tong kepada $40 setong, kerajaan membuat keputusan untuk tidak lagi memberi subsidi ke atas jualan petrol dan diesel di stesen-stesen minyak.

Sebelum itu kerajaan menetapkan harga jualan runcit petrol dan diesel di pam-pam minyak pada harga tetap dan tidak berubah mengikut harga minyak antarabangsa.

Selepas November 2014 kerajaan menetapkan bahawa harga runcit petrol dan diesel akan berubah setiap bulan mengikut harga pasaran minyak antarabangsa sebelumnya. 

Bererti harga petrol dan diesel akan berubah setiap akhir bulan; jika harga minyak antarabangsa naik pada bulan sebelumnya, harga runcit petrol dan diesel akan naik juga dan jika harga minyak antarabangsa turun pada bulan sebelumnya, harga runcit petrol dan diesel akan turun.

Saya akan menerangkan bagaimana harga RON95 ditetapkan setiap bulan kerana saya percaya bahawa kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan RON95  dan saya juga percaya bahawa sesiapa sahaja yang mampu mengisi tangki kenderaan mereka dengan RON97 tidak risau tentang perubahan harga petrol setiap bulan.

Harga runcit petrol dan diesel di Malaysia ditetapkan menggunakan mekanisme yang dipanggil Automatic Pricing Mechanism (APM) yang digunakan oleh kerajaan sejak 1983:
Mekanisme Penetapan Harga Runcit Petrol dan Diesel di Malaysia

Ada 6 komponen dibawah APM yang perlu dikira sebelum kerajaan menetapkan harga RON95 bagi sesuatu bulan iaitu kos produk, kadar tukaran matawang asing Ringgit - US Dollar, alpha, kos operasi, margin syarikat minyak dan margin pengusaha stesen minyak.

Kos Produk adalah harga minyak yang telah diproses daripada minyak mentah iaitu produk petroleum seperti petrol yang diisi di dalam tangki minyak kenderaan anda. Di Malaysia (dan kebanyakan negara Asia lain) kita menggunakan penanda aras dari Singapore yang dipanggil Means of Platts Singapore (MOPS) untuk mengira harga RON95 setiap bulan. Data MOPS diterbitkan setiap hari oleh syarikat pengeluar data McGraw Hill dan hanya boleh diakses oleh sesiapa yang melanggan sahaja.

Tukaran matawang asing adalah kadar tukaran antara Ringgit Malaysia dan US Dollar (USD/MYR) untuk menukar harga MOPS dalam USD kepada Ringgit. Saya tidak pasti kerajaan menggunakan kadar tukaran yang mana satu tetapi saya menggunakan kadar tukaran yang tercatat di dalam laman webBank Negara Malaysia setiap hari.

Alpha adalah perbezaan di antara harga MOPS yang diterbitkan dan harga sebenar produk RON95 yang dibeli syarikat minyak yang ditetapkan pada kadar 5 sen setiap liter.

Kos Operasi termasuk kos pengangkutan dan pemasaran syarikat minyak yang ditetapkan pada 9.54 sen setiap liter.

Margin Keuntungan Syarikat Minyak ditetapkan pada 5 sen setiap liter.

Margin Keuntungan Pengusaha Stesen Minyak dijamin dan ditetapkan pada 12.19 sen setiap liter.

Kos produk dan kadar tukaran USD-MYR adalah kos berubah-ubah yang berubah setiap hari mengikut pasaran manakala alpha, kos operasi, margin syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak adalah kos tetap yang ditetapkan kerajaan.

Jumlah kos tetap = Alpha (5 sen) + Kos Operasi (9.54 sen) + Margin Keuntungan Syarikat Minyak (5 sen) + Margin Keuntungan Pengusaha Stesen Minyak (12.19 sen) = 31.73 sen setiap liter = 32 sen (selepas dibundarkan).

Harga MOPS95 pada 31 Oktober 2016 = $62.028 setiap tong dan kadar tukaran USD-MYR = 4.1960.

Pertama kita perlu menukar harga MOPS95 daripada USD/tong kepada Ringgit/liter; 1 tong minyak = 158.99 liter.

MOPS95 setiap liter = 62.028/158.99 = $0.39

Kemudian kita menukar MOPS95 seliter dalam USD kepada Ringgit Malaysia = 0.39 * 4.1960 = RM1.64 (dibundarkan).

Akhirnya kita tambahkan kos tetap 32 sen yang ditetapkan kerajaan untuk mendapatkan harga akhir RON95 pada 31 Oktober 2016:

RON95 seliter =  RM1.64 + RM0.32 = RM1.96 

Harga RON95 seliter pada 31 Oktober 2016 adalah RM1.96 manakala harga runcit RON95 yang ditetapkan kerajaan bagi Oktober adalah RM1.80 bererti harga runcit yang kita bayar adalah lebih rendah daripada harga sebenar RON95 di dalam pasaran.

Bagi bulan November, kerajaan menaikkan harga RON95 sebanyak 15 sen kepada RM1.95 seliter daripada RM1.80 bagi bulan Oktober.

Bagaimana kerajaan membuat pengiraan dan menetapkan bahawa harga RON95 dinaikkan sebanyak 15 sen?

Di bawah mekanisme apungan terkawal, kerajaan menetapkan harga petrol dan diesel SETIAP bulan mengikut purata harga bulan sebelumnya.

Harga RON95 setiap hari sepanjang bulan akan dikira dan dibahagikan kepada hari yang terdapat dalam bulan tersebut (tidak termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum).

Oleh kerana data MOPS tidak diterbitkan untuk orang awam dan hanya tersedia untuk mereka yang melanggan sahaja, saya akan melampirkan harga MOPS95 (dapat dari keluarga) untuk tujuan menunjukkan bagaimana kerajaan mengira dan menetapkan harga minyak setiap bulan.

Walaubagaimanapun jika anda ingin memantau pergerakan MOPS95 anda boleh ke laman web Australian Institute of Petroleumyang menunjukkan carta pergerakan MOPS95 (tiada harga spesifik cuma pergerakan harga).

Di bawah adalah harga MOPS95 dan RON95 yang sudah pun dikira untuk anda semua bagi Ogos 2016:

Harga MOPS95 dan RON95, Ogos 2016

Seperti yang anda boleh lihat harga runcit RON95 ditetapkan pada RM1.75 seliter dan pada hujung bulan Ogos purata harga RON95 adalah RM1.69 seliter.

Pada 31 Ogos 2016 kerajaan menetapkan harga RON95 bagi bulan September pada RM1.70 iaitu turun 5 sen seliter bersesuaian dengan purata harga RON95 bulan Ogos iaitu RM1.69 seliter. 

Mari kita lihat harga MOPS95 dan RON95 sepanjang September 2016 dan mengapa kerajaan meningkat harga RON95 sebanyak 10 sen pada 30 September 2016:

Harga MOPS95 dan RON95, September 2016

Purata harga RON95 bagi bulan September 2016 adalah RM1.82 seliter jika dibandingkan dengan harga runcit RM1.70 liter yang ditetapkan kerajaan pada 31 Ogos 2016.

Pada 30 September 2016 kerajaan menetapkan harga RON95 pada RM1.80 seliter naik sejumlah 10 sen seliter bersesuaian dengan purata harga RON95 September iaitu RM1.82 seliter.

Akhir sekali mari kita lihat harga MOPS95 dan RON95 sepanjang bulan Oktober dan memahami kenapa kerajaan menaikkan harga RON95 sebanyak 15 sen seliter beberapa hari yang lepas:

Harga MOPS95 dan RON95, Oktober 2016

Purata harga RON95 bagi September 2016 adalah RM1.98/liter berbanding RM1.80 harga runcit yang ditetapkan kerajaan pada 30 September 2016.

Sekali lagi bersesuaian dengan purata harga bulan sebelumnya (RM1.98) kerajaan menaikkan harga RON95 sebanyak 15 sen daripada RM1.80 bagi bulan ini (November).

Dengan pengiraan di atas saya harap semakin banyak yang membaca tulisan saya akan faham bagaimana kerajaan menetapkan harga minyak setiap bulan.

Jika ada yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara pengeluar dan pengeksport minyak dan kerajaan harus memberi subsidi petrol dan diesel kepada rakyat Malaysia, mereka perlu mengetahui bahawa Malaysia hanyalah pengeskport bersih minyak mentah (eksport lebih daripada import) dan Malaysia adalah pengimport bersih produk petroleum yang telah diproses (import lebih daripada eksport).

Bermaksud penggunaan petrol, diesel, kerosene dan pelbagai produk petroleum di Malaysia adalah lebih daripada pengeluaran yang dibuat Malaysia:


Eksport dan Import Minyak Mentah dan Produk Petroleum: METS Online

Lagipun Malaysia hanyalah pengeluar petroleum ke-25 terbesar di dunia yang mengeluarkan minyak 740 ribu tong setiap hari berbanding Saudi (11.9 juta tong sehari), UAE (3.4 juta tong sehari) dan Qatar (2 juta tong sehari).

Setiap bulan bila kerajaan menetapkan harga petrol dan diesel pasti ada yang akan menggunakan carta minyak mentah WTI iaitu minyak mentah yang digunakan sebagai penanda aras harga minyak di Amerika Syarikat walaupun penggunaan carta WTI adalah tidak tepat.

Faktor penentuan harga minyak bergantung kepada kos berubah-ubah seperti harga kos produk MOPS dan juga kos tetap yang saya terangkan di atas.

Kita juga mesti ingat bahawa selain faktor harga minyak mentah, tukaran matawang asing juga menjadi faktor ke atas pengiraan harga minyak setiap bulan.

Walaubagaimanapun bulan lepas, harga minyak dinaikkan sebanyak 15 sen bukanlah kerana Ringgit yang jatuh tetapi kerana harga kos produk MOPS95 yang secara puratanya meningkat.

Di dalam Facebook saya ada menjawab tentang kenyataan YB Rafizi Ramli bahawa harga RON95 dinaikkan 15 sen kerana Ringgit yang jatuh.

Saya harap dengan tulisan saya sedikit sebanyak dapat membantu anda semua memahami bagaimana kerajaan menetapkan harga petrol dan diesel setiap hujung bulan.

Setiap hujung bulan boleh lah kita bersedia dan tidak terkejut dengan kenaikan atau penurunan harga petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan