Rabu, 24 Ogos 2016

Perlembagaan Persekutuan


1. Saya ingin memohon maaf kerana pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang. Kononnya disebabkan pindaan ini, maka Akta Majlis Keselamatan Negara yang baru telah dapat dikuatkuasakan walaupun tidak mendapat tandatangan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

2. Tetapi saya ingin jelaskan bahawa pindaan tersebut bukanlah meliputi semua undang-undang. Terdapat beberapa undang-undang yang diluluskan Parlimen yang masih lagi perlu mendapat persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong.Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebahagian darinya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri.

3. Diantara hak dan kuasa ini termasuk mengisytihar darurat. Perisytiharan darurat adalah keistimewaan yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong kerana implikasinya amat serius.Ianya memberi hak kepada kerajaan untuk menggantung pelaksanaan undang-undang.Dengan ini Kerajaan boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa dibicara.

4. Fasal (1) Perkara 150, Proklamasi Darurat menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir akan berlaku.

(2A) Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perkara ini termasuklah untuk mengeluarkan Proklamasi-Proklamasi yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi sudah dikeluarkan atau tidak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (1) dan Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi itu sedang berkuatkuasa.

(2B) Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.

(2C) Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7) ; dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya yang Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua- dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

(4) Semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah, walau apa pun yang terdapat dalam Perlembagaan ini, meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri dan pemberian arahan kepada Kerajaan sesuatu Negeri atau kepada mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri itu.

(8) Walau apa pun terdapat dalam Perlembagaan ini—
(a)  hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana- mana mahkamah atas apa-apa alasan;
Daripada Perkara dan Fasal tersebut, nyatalah bahawa
(I) Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat kekal terletak hanya pada Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh di pertikaikan.

5. Tidak ada disebut yang di dalam kes ini, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga boleh memasyhurkan ordinan yang mempunyai kuasa yang sama dengan Akta Parlimen.

6. Dengan kuasa ini yang kekal ditangan Yang di-Pertuan Agong tidak terdapat apa-apa keperluan bagi mana-mana undang-undang lain untuk membolehkan Kerajaan menggantung undang-undang bagi menangani masalah keselamatan.

7. Selain tidak menjadi keperluan, Akta Majlis Keselamatan Negara yang baru yang memindahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri menghina peruntukan Perkara 38 (4) yang menyatakan “Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.”

8. Jelas sekali Akta Majlis Keselamatan Negara ini, menceroboh kedudukan istimewa Majlis Raja-Raja dan bertentangan dengan hak Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat.Untuk Akta ini diluluskan sebagai undang-undang persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan.

9. Dibawah Fasal (3) Perkara 40 Undang-undang Persekutuan peruntukanboleh diadakan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang yang bukan dari Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—

(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
.
10. Mengisytihar darurat adalah satu perkara yang ditentukan Perlembagaan sebagai atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.Tetapi apabila Akta Majlis Keselamatan Negara memindahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri sebagai pengerusi Majlis Keselamatan, keperluan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk secara bersendirian melaksanakan hak untuk memutuskan darurat tidak lagi bermakna. Secara dasarnya Majlis Keselamatan Negara telah merampas kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perkara ini. Persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja haruslah diperolehi lebih dahulu.

11. Apabila Kerajaan mengenepikan permintaan Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong supaya Akta Majlis Keselamatan Negara diperhalusi dan disemak semula, maka jelas sekali pindaaan tersebut tidak mematuhi Perlembagaan. Oleh itu Akta Majlis Keselamatan Negara tidak boleh dimeterai sebagai undang-undang.

12. Perkara 130
Bidang kuasa nasihat Mahkamah Persekutuan
Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana- mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa- apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

13. Peruntukan ini memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan jika terdapat kesangsian terhadap kesahihan ataupun ketidaksahihan Akta Majlis Keselamatan Negara yang tidak pun mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong.

14. Perlantikan Perdana Menteri.
Lantikan Perdana Menteri juga merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.Yang diperlukan ialah supaya Yang di-Pertuan Agong melantik seorang individu sebagai Perdana Menteri jika individu tersebut mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.Nama yang dicadangkan oleh parti yang menang tidak semestinya diterima Yang di-Pertuan Agong, jika Yang di-Pertuan Agong merasakan bahawa terdapat calon lain yang lebih sesuai.

15. Oleh sebab itu, berdasarkan kepada peruntukan yang sama di dalam Perlembagaan Negeri masing-masing, di tiga negeri – Terengganu, Perlis dan Selangor – calon yang dikemukakan parti yang menang ditolak dan Raja-Raja membuat keputusan menerima calon yang lain. Mereka ini dilantik sebagai Menteri Besar dan diterima Majlis Mesyuarat Negeri.

16. Yang di-Pertuan Agong jelas sekali mempunyai hak untuk melantik Perdana Menteri atas budi bicara. Jika semasa persidangan, Dewan Rakyat menolak lantikan Yang di-Pertuan Agong, maka calon tersebut terpaksa berhenti daripada menjadi Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong akan menamakan calon yang baru.

17. (105) Ketua Audit Negara
(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Audit Negara, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
106. Kuasa dan tugas Ketua Audit Negara
(1) Akaun bagi Persekutuan dan bagi Negeri-Negeri hendaklah diaudit dan dibuat laporan mengenainya oleh Ketua Audit Negara.

(2) Ketua Audit Negara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain dan menjalankan apa-apa kuasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan berhubung dengan akaun bagi Persekutuan dan akaun bagi Negeri-Negeri dan berhubung dengan akaun bagi pihak-pihak berkuasa awam lain dan akaun bagi badan yang dinyatakan melalui perintah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
107. Laporan Ketua Audit Negara
(1) Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan- laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

18. Perdana Menteri, Dato Sri Najib telah memerintahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun 1MDB. Laporan yang sepatutnya dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya di hantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Laporan PAC bersama dengan laporan Ketua Audit Negara kemudian dihantar kepada Peguam Negara. Laporan Ketua Audit Negara kemudiannya diisytihar sebagai rahsia dan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

19. Ini bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan dimana laporan Ketua Audit Negara hendaklah di hantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dibentang kepada Dewan Rakyat. Amat jelas bahawa Kerajaan pimpinan Dato Sri Najib bukan sahaja mengabai peruntukan Perlembagaan, tetapi bertindak bertentangan dengannya, dengan memberi laporan tersebut kepada Peguam Negara. Ianya kemudian diklasifikasi sebagai rahsia rasmi.

20. Intipati laporan audit ialah untuk membongkar salah-laku atau kepincangan dalam pengurusan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan kewangan sesuatu organisasi. Dengan mengisytihar laporan Ketua Audit Negara sebagai rahsia, maka sia-sia lah tindakan dan tujuan audit diadakan. Rakyat mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas Kerajaan kerana menyembunyi hasil laporan Ketua Audit Negara.

21. Seperti yang saya katakan dari awal lagi, pindaan kepada Perlembagaan yang menyebabkan persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi diperlukan bukanlah secara menyeluruh. Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih lagi diperlukan jika Akta yang dicadangkan menyentuh kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong. Dan Akta Majlis Keselamatan Negara jelas memberi kesan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat, yang mana kuasa tersebut tidak lagi bermakna. Untuk Akta ini, persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan.

22. Di dalam mengisytiharkan yang Akta Keselamatan Negara ini sudah menjadi undang-undang, walaupun ianya tidak mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong, Dato Sri Najib tidak mematuhi pindaan kepada Perlembagaan yang dibuat semasa saya menjadi Perdana Menteri.

23. Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran yang berbeza. Pindaan tersebut tidak melucutkan lebih 30 perkara lain dibawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan