Rabu, 20 April 2016

faktor X,


PENDAKWAH terkenal, Dr. Zakir Naik menjadi satu fenomena baharu di Malaysia sejak beberapa minggu lalu.
Ceramahnya mendapat tumpuan meluas, baik yang menentang atau menyukainya.
Dengan pelbagai label yang diberikan, baik atau buruk, beliau mampu mencetuskan fenomena baharu apabila ceramahnya mendapat sambutan lebih ribuan penonton. Sebenarnya, begitulah fenomena yang sering berlaku di semua lokasi.
Ada orang mempunyai  satu keistimewaan yang tidak mampu untuk diterangkan secara jelas. Sekalipun orang lain mungkin mempunyai keistimewaan dan bakat yang sama, adakalanya mereka tidak mampu menarik perhatian ramai.
Sekitar 11 tahun lalu, juara program Akademi Fantasia, Mawi menjadi fenomena apabila namanya dipuja. Tidak begitu jelas apakah kelebihannya sehinggakan beliau menjadi kegilaan.
Populariti
Di Indonesia, sekitar awal tahun 2000, pendakwah Abdullah Gymnastiar atau Aa Gym juga menjadi pujaan dan mendapat populariti yang luar biasa.
Dalam kes Zakir, Mawi atau Aa Gym, mereka adalah manusia luar biasa yang dikurniakan kelebihan untuk memukau manusia. Sekalipun mereka mungkin mempunyai pengetahuan atau bakat yang sama dengan kebanyakan pendakwah mahupun penghibur lain, mereka dianggap unik.
Jika ditanya kepada mereka, apakah kelebihan yang dimiliki, mereka sendiri mungkin tidak ada jawapannya.
Jika ditanya kepada peminat pula, mereka juga mungkin tidak ada jawapan mengapa menyukai ikon tadi.
Inilah yang dikatakan psikologi manusia. Ia tidak dapat diterangkan dengan jelas.
Bagaimanapun, ada yang berpandangan bahawa faktor X tadi adalah berasaskan kepada bahasa tubuh, pelat suara, bagaimana mereka mengukir senyuman dan cara seseorang itu berpakaian.
Adakalanya ia tidak dirancang, tetapi ia wujud secara semula jadi dan bukannya dengan cara yang dibuat-buat.
Jadi ‘keunikan’ ini mungkin akan menyebabkan seseorang itu dianggap luar biasa sehingga menjadi daya tarikan.
Pendakwah seperti Ustaz Azhar Idrus misalnya menjadi tarikan, bukan sahaja mereka yang meminati hal keagamaan tetapi anak-anak muda yang mungkin selama ini tidak berani mendekatkan diri dengan pendakwah.
Bercakap menggunakan loghat Terengganu, bersahaja dan santai dalam menjawab soalan yang dikemukakan mungkin menjadikan Azhar diminati.
Inilah keunikan yang menjadikan seseorang itu luar biasa. Begitu jugalah dengan pendakwa Zakir yang menggunakan bahasa Inggeris dengan gaya India dan menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan cara tersendiri.
Kelainan inilah yang menarik perhatian orang untuk mendengar lebih lanjut apa yang cuba disampaikan.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, seseorang itu menjadi idola bukan disebabkan kelainan tadi. Sebaliknya, mereka menjadi perhatian apabila ramai orang mula memperkatakan tentang mereka, sama ada ia baik atau buruk.
Apabila semakin banyak diperkatakan, mereka yang sebelum ini mungkin tidak pernah mendengar mengenai nama-nama tadi, mula memberikan perhatian.
Secara tidak langsung, ia akan menjadikan seseorang itu popular secara tiba-tiba. Dalam sesetengah keadaan yang lain, apabila seseorang itu sudah dianggap sebagai luar biasa, terdapat juga kecenderungan untuk pendengar yang menerima mesej yang disampaikan oleh personaliti itu sebagai sesuatu yang tidak boleh disanggah lagi.
Apa sahaja yang diperkatakan bersesuaian dengan kehendak pendengar, akan terus diingati. Sebaliknya, jika ada maklumat-maklumat yang mungkin bertentangan dengan kehendak pendengar, ia akan dilupakan begitu sahaja.
Luar biasa
Simptom yang dikenali sebagai fallacy of positive instances ini menjadikan manusia menerima apa sahaja yang diperkatakan oleh idola mereka tadi dan mengabaikan proses berfikir sama ada yang disampaikan itu rasional atau tidak.
Hal seumpama ini biasa terjadi dalam kebanyakan kes pidato ahli politik hingga menyebabkan seseorang tokoh itu dilihat sangat luar biasa.
Mereka hanya dilihat sebagai subjek yang membawa ‘pakej positif’ sedangkan apa sahaja yang bersifat negatif dianggap tidak pernah wujud.
Pada akhirnya, sama ada seseorang itu dilihat menarik atau tidak, ia bergantung kepada penyampai dan pendengar.
Sekiranya seseorang pendengar itu beranggapan bahawa penyampai tadi adalah seseorang yang luar biasa, apa sahaja hujahnya dianggap sebagai benar.
Berita kehebatan penyampai tadi akhirnya menjadi buah mulut, sekali gus mencetuskan fenomena. Walaupun pada hakikatnya, penyampai tadi mungkin sama seperti orang lain. Berbezanya, mereka menjadi terkenal, sedangkan orang lain tidak.
Bagi pendakwah, penghibur atau ahli politik, fenomena ini mungkin satu kelebihan yang sangat berguna.
Sekiranya ia digunakan untuk jalan kebaikan, ia mampu mengubah jutaan manusia.
Sebaliknya, jika fenomena ini tidak ditadbir secara betul, ia juga mungkin akan menjadikan dunia kacau-bilau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan